KLANG 25 Jun – Padah menimpa pasangan suami isteri apabila mereka bakal berdepan dengan hukuman penjara sehingga setahun dan denda sehingga RM50,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan aktiviti persundalan menggunakan akaun aplikasi WeChat.
Tertuduh Muhammad Saruddin Basri, 23 dan Noor Shahfizan Shamsuddin, 24, mengaku bersalah dihadapan Hakim Razali Ariffin selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka oleh jurubahasa mahkamah.
Bagaimanapun, Razali menetapkan 23 Julai hadapan sebagai tarikh hukuman.
“Kedua-dua tertuduh juga tidak dibenarkan ikat jamin sementara menunggu tarikh tersebut,” katanya.
Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri mengaku secara sedar telah menggunakan aplikasi tersebut atas akaun Mirra untuk memberikan komunikasi lucah bagi tujuan komersial.
Kedua-dua mereka didakwa melakukan kesalahan di Flat Cempaka, Persiaran Bukit Raja, dekat sini pukul 3 petang pada 4 Disember lalu.
Sehubungan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 233(3) Akta Komunikasi dan Multimedia dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman sehingga setahun dan denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Hafizah Zahidah Abdullah menegaskan pihaknya tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan tertuduh tidak mempunyai alamat tetap yang menyukarkan mengesan mereka.
“Saya juga memohon mahkamah menetapkan hukuman tarikh lain sementara menunggu laporan forensik terhadap telefon bimbit tertuduh,” ujarnya.
Difahamkan, Muhammad Saruddin akan ditempatkan di Penjara Sungai Buloh manakala Noor Shahfizan di Penjara Kajang sementara tarikh hukuman mereka. -UTUSAN ONLINE











