PASIR PUTEH – Kehilangan seorang lelaki di Kampung Lepah, Selising, dekat sini, sejak Khamis lalu terjawab selepas satu mayat reput ditemukan dalam keadaan terlentang di kawasan hutan berdekatan petang semalam.
Mayat lelaki berusia 53 tahun itu ditemukan dalam keadaan mengerikan apabila keseluruhan badannya dipenuhi ulat.
Menurut sumber penduduk, mangsa yang keluar untuk meracik burung petang Khamis dikatakan tidak pulang ke rumah menjelang malam sebagaimana lazimnya.
Katanya, penduduk juga menemukan jebak atau sarang burung yang digunakan untuk memikat burung di sisi mayat yang dipercayai dibawanya ke hutan.
“Bau busuk yang dihidu penduduk sekitar hutan itu menimbul kecurigaan sehingga mayat mangsa ditemukan dan kes itu dilaporkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Anis (HTA) untuk dibedah siasat.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mohd. Azmir Damiri gagal dihubungi untuk mengesahkan kejadian itu. -UTUSAN ONLINE











