CYBERJAYA – Pembayar cukai kini mempunyai baki masa lima hari untuk menerima tawaran diskaun penalti 10 peratus di dalam Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS).
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, fasa pertama program itu dengan pengenaan konsesi penalti 10 peratus daripada amaun cukai yang dikenakan akan berakhir pada Ahad ini.
Katanya lagi, kadar penalti 15 peratus akan dikenakan pada fasa kedua iaitu bermula 1 Julai sehingga 30 September ini.
“Jika mereka masih lagi tidak melaporkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berkenaan pendapatan mereka, maka penaliti antara 45 sehingga 300 peratus dikenakan bermula Oktober.
“PKPS diadakan untuk memberi peluang kepada pembayar cukai yang mempunyai akaun di luar negara dan mempunyai pendapatan yang dijana dalam Malaysia, untuk dilaporkan kepada kerajaan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2019 LHDN di sini hari ini.
Yang hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Sabin Samitah.
Pada masa sama, Guan Eng berkata, pihak kerajaan juga mengalu-alukan pembayar cukai yang tidak mempunyai akaun bank di luar negara untuk membuat pengakuan secara sukarela berhubung pendapatan berpunca dalam Malaysia.
Ujar beliau, LHDN akan menerima setiap pengakuan sukarela dengan suci hati dan tindakan audit serta siasatan tidak akan dilakukan terhadap pengakuan sukarela itu.
“Surat pengesahan kesahihan pelaporan cukai juga akan dikeluarkan oleh lembaga itu bagi setiap pengakuan sukarela yang diterima setakat 2017 untuk individu dan 31 Mac 2018 untuk syarikat,” katanya.-UTUSAN ONLINE











