SHAH ALAM – Malang menimpa bagi dua penyamun bersenjatakan parang di sini apabila mereka diberkas dalam tempoh 20 minit selepas melakukan jenayah di sebuah stesen minyak di Sri Muda, Seksyen 25, Sabtu lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, seorang suspek warga tempatan diberkas oleh orang awam di luar stesen minyak itu.
Sementara, rakannya merupakan warga Myanmar diberkas polis selepas keluar daripada longkang kira-kira 500 meter dari stesen minyak berkenaan. Kedua-dua suspek berusia 29 dan 32 tahun.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, kejadian dikatakan berlaku apabila kedua-dua suspek menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha SS2 memasuki kedai serbaneka di stesen minyak itu dengan bersenjatakan sebilah parang sepanjang 60.96 sentimeter.
Katanya, mereka kemudiannya telah menyamun seutas rantai seorang pelanggan berusia 59 tahun yang ingim membeli barangan di kedai serbaneka itu sebelum melarikan diri.
“Namun jeritan meminta pertolongan seorang pekerja lelaki warga Bangladesh berusia 20an telah menarik perhatian sekumpulan pelanggan yang menikmati makanan di gerai berdekatan.
“Seorang suspek yang bersenjatakan parang kemudiannya berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan namun tiada kecederaan serius dilaporkan kepada kumpulan orang awam itu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau menambah, unit kereta peronda (MPV) yang menerima maklumat itu kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian sebelum tiba dalam tempoh lima minit.
Ujar Baharudin, rakan suspek yang dikatakan bersembunyi di longkang bagi mengelak dikesan berjaya dicekup polis sebaik keluar daripada tempat persembunyian tersebut.
“Kita turut merampas dua rantai termasuk milik mangsa di stesen minyak itu, tiga telefon bimbit pelbagai jenama dan wang tunai berjumlah RM700.
“Siasatan masih diteruskan bagi mengenalpasti tempoh penglibatan kedua-dua suspek dan mereka kini direman selama tujuh hari,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan katanya. – K! ONLINE











