TAMPIN – Peneroka di seluruh negara menyerahkan kepada Perdana Menteri untuk memilih Pengerusi Felda yang baharu bagi menggantikan Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd. Nor yang meletakkan jawatan, semalam.
Ketua Peneroka Felda Kebangsaan, Sulong Jamil Mohamed Shariff berkata, pihaknya sedia membantu sesiapa sahaja yang dipilih bagi mengisi kekosongan jawatan itu.
“Kami di pihak peneroka akur dengan pilihan Perdana Menteri kerana itu kuasa kerajaan. Siapa yang dihantar kita akan terima.
“Saya menghubungi Tan Sri (Megat Zaharuddin) pada pukul 7 petang semalam dan beliau sempat berpesan supaya meminta kami meneruskan agenda demi peneroka dan Felda,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Mega Raya Komuniti Felda di Kampung Felda Sungai Kelamah di Gemas di sini hari ini.
Yang turut hadir timbalannya, Karip Mohd. Saleh dan Presiden Majlis Belia Felda Malaysia, Muhammad Fadzli Hasan.
Megat Zaharuddin meletakkan jawatan semalam setelah berkhidmat kira-kira setahun dalam organisasi tersebut.
Felda dalam kenyataan hari ini memberitahu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan mengumumkan pengerusi baharu namun tidak dinyatakan bila pengumuman tersebut akan dilakukan.
Megat Zaharuddin dilantik menjadi Pengerusi Felda pada 27 Julai 2018 menggantikan Tan Sri Shahrir Samad yang meletakkan jawatan pada 14 Mei 2018.
Dalam pada itu, Sulong Jamil berharap kerajaan memilih individu yang mempunyai kelayakan dan kebolehan memandangkan Felda merupakan agensi yang telah dikenali di peringkat antarabangsa. – UTUSAN ONLINE











