KOTA BHARU – Pemimpin sekolah diingatkan supaya menguruskan sekolah dengan baik bagi mengelak sebarang masalah timbul.
Pengarah Pendidikan Negeri, Fauzi Zahari berkata, sebagai pemimpin sekolah, pengetua mahupun guru besar perlu menunjuk bakat pemimpin yang ada dan memimpin sekolah secara kreatif.
“Kita sering menerima aduan tidak puas hati dari pihak sekolah serta masyarakat setempat dan puncanya adalah komunikasi
“Sebagai pemimpin, kita perlu banyak mendengar, memerhati dan menilai sebelum membuat keputusan. Jangan terburu-buru dan jangan takut untuk membuat keputusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Indahnya Syawal di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Bharu di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Pendidikan negeri, Abdullah Mat dan Ketua Pegawai PPD, Mohd. Ezani Awang.
Pada majlis berkenaan, dianggarkan lebih 5,000 tetamu yang terdiri daripada pengetua, guru besar, guru-guru dan kakitangan JPN hadir memeriahkan sambutan Aidilfitri.
Fauzi berkata, pemimpin sekolah perlu memberi komunikasi secara berkesan bukan terkesan.
“Berkesan dan terkesan adalah berbeza kerana berkesan ia akan difahami dan kalau terkesan ia akan memberi kesan jangka panjang.
“Jadi, dengan pengalaman dan ilmu yang ada, saya percaya tuan puan boleh menguruskan sekolah dengan baik dan bersama-sama memartabatkan pendidikan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











