[VIDEO] Tokan dadah Kampung Baru ditahan - Utusan Malaysia

[VIDEO] Tokan dadah Kampung Baru ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang lelaki mencari wang mudah bagi menampung dua isteri dan anak-anaknya dengan mengedar dadah mengundang padah apabila dia ditahan di Jalan Raja Alang, Kampung Baru di sini.

Suspek yang merupakan seorang peniaga gerai ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 20 Jun pukul 11.15 malam.

Susulan tangkapan itu juga pihak polis berjaya merampas 11 ketulan ganja mampat seberat sembilan kilogram dan 3,000 biji pil erimin 5 dianggarkan jumlah keseluruhan bernilai RM67,500.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohd. Fahmi Visuvanathan Abdullah berkata, bertindak atas maklumat diterima, serbuan dilakukan berjaya menahan lelaki berusia 33 tahun terbabit bersama satu ketulan ganja mampat dianggarkan seberat 17.6 gram.

“Penahanan suspek juga membongkar tempat simpanan bekalan dadah yang diletakkan di dalam stor di rumahnya di Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru, hari yang sama.

“Siasatan lanjut di dalam stor terbabit, menemukan tujuh ketulan besar mampat dan empat ketulan kecil mampat berisi dedaun kering disyaki ganja serta pil erimin 5 di bungkus di dalam kotak susu selain wang tunai RM1,500,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Fahmi memberitahu, siasatan lanjut mendapati lelaki terbabit dipercayai aktif melakukan kegiatan itu sejak 2014.

Semakan mendapati suspek terbabit mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan mendatangkan kecederaan pada 2016.

“Ujian saringan awal air kencing dilakukan terhadap suspek didapati positif erimin 5 dan amphetamine,” jelasnya.

Katanya, suspek kini direman selama tujuh hari selama tujuh hari bermula 21 hingga 27 Jun nanti untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini