MELAKA – Seorang inspektor dan empat anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin direman selama lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima wang suapan bernilai RM6,000 membabitkan kesalahan pemilikan air ketum pada Mac lalu.
Perintah reman sehingga 29 Jun itu dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Melaka, Muhammad Nazrin Ali Rahim terhadap kesemua suspek lelaki yang berusia antara 25 hingga 50 tahun itu.
Kesemua suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Suspek termasuk dua koperal dan dua konstabel itu tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 11.15 pagi dengan masing-masing memakai baju T dan seluar jeans.
Difahamkan suapan bernilai kira-kira RM6,000 itu diambil sebagai dorongan untuk tidak dikenakan tindakan atas kesalahan memiliki air ketum daripada seorang lelaki berusia lingkungan 30-an pada Mac lepas.
Kelima-lima suspek itu ditahan selepas memberi keterangan di pejabat SPRM di Alai, dekat sini, antara pukul 5 petang hingga 11 malam tadi.
Pengarah SPRM Melaka, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman terhadap kesemua suspek tersebut. – K! ONLINE











