JOHOR BAHRU -Suasana di pusat gerakan operasi pemantauan di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) di sini, lengang tanpa kehadiran pesakit baharu yang mendapatkan rawatan.
Tinjauan Kosmo! di Stadium Tertutup MPPG setakat pukul 2 petang tadi mendapati hanya kakitangan daripada jabatan berkaitan sahaja yang bersiap sedia menghadapi situasi yang tidak diduga.
Difahamkan pusat gerakan ini dibuka untuk sebarang kes kecemasan selain klinik kesihatan yang dibuka sehingga pukul 10 malam bagi mana-mana mangsa yang mengalami simptom pencemaran bau seperti loya dan muntah-muntah.
Sementara itu, Menteri Besar Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal juga meminta orang ramai supaya mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai topeng muka ketika berada di luar rumah.
Perkembangan siasatan berhubung kes pencemaran bau juga akan diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan, Mohd. Khuzzan Abu bakar kira-kira pukul 5 petang sebentar lagi.
Terdahulu, Jabatan Pendidikan Johor mengambil keputusan untuk menutup 111 buah sekolah rendah dan sekolah menengah kerajaan, tiga institusi pengajian tinggi, 14 sekolah swasta dan antarabangsa serta 347 tadika swasta. – K! ONLINE











