PUTRAJAYA – Kerajaan bersetuju program ikan sejuk beku atau QFish dikembangkan ke seluruh negara bagi membantu menstabilkan harga ikan dan mengurangkan impak peningkatan kos sara hidup pengguna.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) Bil. 3/2019 yang dipengerusikannya di sini hari ini.
Beliau berkata, program itu mengguna pakai teknologi pembekuan ikan secara individu bagi menjamin kualiti dan kesegaran ikan.
“Program QFish ini menyasarkan untuk meningkatkan pengeluaran kapasiti ikan daripada 561 tan metrik kepada 3,500 tan metrik setahun.
“Ini adalah sistem yang boleh dijayakan untuk menstabilkan harga ikan dan pengurangan kos kepada pengguna, bila ikan berkurangan ketika musim monsun, ikan QFish ini masih boleh didapatkan di pasaran,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat berkenaan di sini hari ini.
Selain itu Wan Azizah berkata, NACCOL juga bersetuju dengan cadangan Kementerian Pengangkutan supaya Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) menguatkuasakan pelesenan terminal pengangkutan awam darat dan mengawalselia caj yang dikenakan oleh pengendali terminal berdasarkan kualiti perkhidmatan dan kemudahan terminal.
Beliau berkata, pelaksanaan cadangan itu juga perlu mengambilkira kepentingan pengguna supaya mereka tidak dibebankan.
Katanya, NACCOL juga turut menerima cadangan Kementerian Pemgangkutan untuk menyemak semula kadar tambang Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) melalui pemansuhan tambang dan pelaksanaan struktur tambang dinamik bagi ETS.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, NACCOL menerusi Kementerian Pembangunan Usahawan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Angkatan Koperasi Kebangsaan akan meneliti pelaksanaan inisiatif Program Barang Asas 100 (BA100) yang dijangka boleh mengurangkan harga barang, peranan orang tengah selain mengeluarkan sendiri barangan keperluan asas.
Dalam pada itu, beliau turut mengalu-alukan pelantikan lima ahli baharu NACCOL iaitu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ignatius Darrel Leiking; Peguam Negara, Tommy Thomas; Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Ketua Pegawa Eksekutif Malaysia Digital Economy Corporation Sdn. Bhd. (MDEC), Surina Shukri dan Presiden Majlis Belia Malaysia, Jufitri Joha.
“Pelantikan ahli baharu ini meliputi anggota kerajaan, tokoh politik dan wakil belia diharap dapat membantu dalam usaha kerajaan menangani kos sara hidup,” katanya. – UTUSAN ONLINE











