ISKANDAR PUTERI – Kegiatan tiga lelaki mengedar dadah terbantut apabila mereka diberkas polis dalam dua serbuan berasing di Taman Nusa Bestari, Skudai di sini Ahad lalu.
Dalam serbuan bermula pada pukul 4 petang itu, sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor berjaya merampas 4,965 gram (g) dadah jenis heroin bernilai RM51,400.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, sebelum serbuan polis memerhati sebuah kereta dinaiki tiga suspek berusia 25 hingga 30 tahun di tempat kereta hadapan sebuah restoran di Taman Nusa Bestari.
Menurutnya, setengah jam kemudian dua lelaki keluar daripada kereta dengan salah seorang membimbit beg sandang berwarna merah manakala pemandu kereta memandu beredar dari kawasan itu.
“Polis menahan kedua-dua lelaki berkenaan dan memeriksa beg menemui bungkusan balutan kertas surat khabar mengandungi ketulan berwarna coklat disyaki heroin seberat 4,965g.
“Pihak kita berjaya menjejaki seorang lagi rakan suspek dan menahannya di hadapan sebuah stesen minyak di Taman Nusa Bestari,”katanya dalam sidang akhar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri di sini hari ini.
Dzulkhairi berkata, hasil semakan rekod jenayah lampau mendapati dua daripada mereka memiliki rekod lampau berkaitan ugutan jenayah, khianat dan pukul.
Jelasnya, ketiga-tiga suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE











