ALOR SETAR – Seramai 63 orang warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan dalam Op Bersepadu Mahir dan Kutip di premis-premis perniagaan di sekitar Kulim di sini, semalam.
Kesemua yang berusia antara 24 hingga 54 tahun itu terdiri daripada 30 orang lelaki warga Bangladesh; tiga orang lelaki warga Indonesia dan seorang lelaki warga India.
Selain itu, tujuh orang warga China (lima lelaki dan dua wanita); 11 orang warga Myanmar (sembilan lelaki dan dua wanita); empat orang lelaki warga Pakistan dan tujuh orang warga Vietnam (lima lelaki dan dua wanita).
Menurut Pengarah Imigresen negeri, Zuhair Jamaludin, warga asing yang ditahan hasil maklumat orang awam dan risikan itu adalah antara 243 orang yang diperiksa oleh 12 orang anggota dan pegawai agensi tersebut.
Katanya, siasatan awal mendapati mereka telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) iaitu tidak memilki dokumen perjalanan yang sah.
“Selain itu, Seksyen 15(1) (c) iaitu tinggal lebih masa dan Per. 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas Lawatan dengan berkerja tidak sah.
“Mereka ini ditahan di lokap Imigresen, Bangunan Kementerian Dalam Negeri, Alor Setar untuk siasatan dan tindakan lanjut sebelum diserah ke Depot Imgresen Belantik, Sik,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.- UTUSAN ONLINE











