KUALA LUMPUR – Koperasi Telekom Malaysia (Kota Mas) menerima Surat Tawaran Pembiayaan Perumahan daripada Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) bagi memudahkan anggotanya mendapatkan pembiayaan perumahan.
Pengerusi Kota Mas, Zailan Mohd. Diah berkata, kerjasama itu juga akan menarik minat kakitangan Telekom Malaysia (TM) dan anak syarikat untuk menjadi anggota Kota Mas sekali gus menikmati kelebihan yang ada.
“Kota Mas menyasarkan pendapatan agihan akan meningkat dari semasa ke semasa dan anggota akan menerima agihan dividen yang lebih tinggi melalui usaha sama ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan Surat Tawaran Pembiayaan dan Surat Tunjuk Minat (LoI) antara Kota Mas, Bank Islam dan Bina Darulaman Berhad (BDB) di sini hari ini.
Pada majlis itu juga BDB menyerahkan LoI kepada Kota Mas yang melibatkan 16 buah rumah teres dua tingkat Fuchsia yang dibangunkan di perbandaran Darulaman Perdana, Sungai Petani, Kedah.
Ketua Pegawai Operasi BDB, Mohd. Iskandar Dzulkarnain berkata, tawaran pembelian rumah itu merupakan kesinambungan dan juga kejayaan sulung hasil daripada perjanjian persefahaman yang ditandatangani kedua-dua pihak sebelum ini. – UTUSAN ONLINE











