PARIS – Kemenangan 2-1 Amerika Syarikat (AS) ke atas Sepanyol menerusi penalti kontroversi awal hari ini diejek sebilangan kecil penonton yang tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil biar pun menggunakan video pembantu pengadil (VAR).
Malah ia turut dikritik pemain Sepanyol, Virginia Torrecilla yang menyifatkan penalti pada minit ke-76 itu tidak akan diberikan kalau ia bukan membabitkan satu nama besar seperti AS.
Torrecilla adalah pemain yang didakwa melakukan sentuhan dan menjatuhkan Rose Lavelle untuk menghadiahkan AS penalti dan seterusnya gol kemenangan pada perlawanan pusingan kedua kalah mati itu.
Sebelum itu kedua-dua pasukan sedang terikat 1-1 dengan gol AS dijaringkan juga menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Rapinoe pada minit ke-7 sebelum Jennifer Hermoso menyamakan kedudukan untuk Sepanyol dua minit kemudian.
“Saya langsung tidak menyentuh dia. Mereka berikan penalti kerana mereka pasukan AS yang ada nama sebagai pasukan terbaik di dunia. Ini tidak akan berlaku jika ia membabitkan pasukan lain,” katanya.
Bagaimanapun Lavelle tegas dengan pendirian dia dijatuhkan untuk wajar mendapatkan penalti tersebut biar pun ketika sepakan yang disempurnakan Megan Rapinoe, masih ada segelintir yang mengejek kerana tidak dapat menerima keputusan pengadil itu.
“Saya disepak di betis depan. Memang satu kekasaran dan saya gembira pengadil (Katalin Kulcsar) beri perhatian,” kata Lavelle yang tidak peduli pasukannya terus diejek selepas perlawanan.
Kemenangan AS itu membolehkan mereka bertemu Perancis di suku akhir manakala Sweden yang menang 1-0 ke atas Kanada akan bertemu Jerman dalam satu lagi aksi suku akhir.
Lain-lain aksi suku akhir membabitkan pertemuan England-Norway manakala dua lagi pasukan akan ditentukan hari ini selepas Jepun bertemu Belanda dan Itali bertemu China. – AFP











