CEO, ketua jabatan kontrak syarikat pembersihan ditahan kes rasuah - Utusan Malaysia

CEO, ketua jabatan kontrak syarikat pembersihan ditahan kes rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – Seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) serta ketua jabatan kontrak dan perolehan sebuah syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam ditahan kerana disyaki menerima rasuah daripada kontraktor sejak empat tahun lalu.

Kedua-dua suspek berusia 50 dan 34 tahun itu ditahan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini kira-kira pukul 6.30 petang semalam.

Penolong Pendaftar Mahkamah Alor Setar, Rashidah Azmi membenarkan kedua-dua suspek direman selama empat hari bermula hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut sumber, penahanan kedua-dua suspek itu susulan bantahan beberapa pihak termasuk kontraktor yang tidak berpuas hati kerana mendakwa pengagihan kontrak diberikan kepada kroni CEO terbabit.

Penyelewengan dalam proses tender menyebabkan syarikat-syarikat yang tidak memenuhi syarat ditetapkan seperti memiliki pekerja dan lori-lori mencukupi dipilih. 

Sementara syarikat yang memenuhi syarat tidak dipilih dan mereka sebaliknya dikehendaki menjalankan kerja-kerja pengutipan sisa pepejal sebagai sub kontraktor kepada pihak yang mendapat tender.

Anggaran projek bagi pengurusan sisa pepejal di negeri ini dan Perlis ini berjumlah RM360 juta setahun. 

Kata sumber, suspek dan beberapa pihak juga didakwa menubuhkan satu tabung kelab kononnya bagi menjaga kebajikan syarikat-syarikat  terlibat. 

“Semua kontraktor yang berjaya dalam tender diwajibkan untuk menyumbang antara satu hingga dua peratus daripada nilai projek ke dalam tabung itu. 

“Dianggarkan sebanyak RM3.6 juta (satu peratus daripada keseluruhan RM360 juta) disumbangkan ke dalam tabung tersebut setiap tahun,” dakwanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki mengesahkan penahanan dua suspek berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini