PULAU PINANG – Bekalan air kepada kira-kira 200,000 pengguna air di Seberang Prai Tengah, Seberang Prai Selatan dan bahagian Selatan negeri ini dijangka pulih secara berperingkat mulai pukul 3 petang hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), PBA Holdings Bhd. (PBAHB) dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PBAPP), Datuk Ir. Jaseni Maidinsa berkata, pengguna berkenaan mengalami tekanan air rendah atau gangguan bekalan air berikutan insiden paip utama pecah di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua di sini yang merupakan LRA terbesar di negeri ini.
“Pada pukul 5.30 petang semalam, saluran paip air bersih bawah tanah 1,100 milimeter (mm) di LRA pecah.
“Modul rawatan air Pakej 10 dan Pakej 11 terpaksa dihenti tugas untuk menjalankan kerja-kerja pembaikan dan kejadian ini mengakibatkan pengeluaran LRA menurun sebanyak 21.5 peratus (kira-kira 230 juta liter sehari) sehingga menjejaskan perkhidmatan bekalan air,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, kakitangan PBAPP menjalankan kerja-kerja pembaikan kecemasan segera pada saluran paip yang rosak kira-kira tiga meter di bawah permukaan jalan bersebelahan struktur bangunan.
“Kerja-kerja pengorekan yang berhati-hati perlu dilakukan untuk mencari dan mengasingkan bahagian saluran paip yang rosak tanpa menyebabkan kerosakan lanjut kepada saluran paip dan bangunan,” katanya.
Tambah beliau, PBAPP memohon maaf di atas sebarang kesulitan yang berlaku dan kejadian itu adalah gangguan bekalan air tidak berjadual.
“Petunjuk prestasi utama (KPI) Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi gangguan bekalan air tidak berjadual yang melibatkan paip berdiameter melebihi 600 mm ialah 48 jam.
“Dalam kes ini, kakitangan PBAPP bekerja keras untuk memulihkan bekalan air dalam tempoh 24 jam,” katanya. – UTUSAN ONLINE











