Sepanyol dedah kelemahan AS - Utusan Malaysia

Sepanyol dedah kelemahan AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REIMS, Perancis – Amerika Syarikat (AS) mungkin tidak sebagus atau sekuat yang mereka sangkakan apabila bergelut untuk mengatasi Sepanyol, sebelum mara ke suku akhir Piala Dunia Wanita dengan kemenangan tipis 2-1 hari ini.

Juara bertahan itu memerlukan dua sepakan penalti ketua pasukan, Megan Rapione pada minit ketujuh dan ke-76 untuk menempah pertemuan lebih getir menentang tuan rumah, Perancis, Jumaat ini.

AS mengharungi kempen yang sempurna ketika menjuarai Kumpulan F apabila membelasah Thailand 13-0, menewaskan Chile 3-0 sebelum mengalahkan Sweden 2-0.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun, Sepanyol memberi ujian sebenar buat anak-anak buah Jill Ellis dan memberi isyarat kepada mereka agar mula menukar permainan kepada ‘gear 5’ jika enggan dihukum Perancis.

“Perlawanan ini amat penting kerana pemain Sepanyol benar-benar menguji kami secara fizikal.

“Banyak pasukan yang bergelut pada peringkat kumpukan tetapi itu tidak berlaku kepada kami, jadi ini ujian yang kami perlukan,” kata bintang penyerang AS, Alex Morgan.

Menurut Morgan, selepas meledak 18 gol dan langsung tidak dibolosi pada peringkat kumpulan, AS memerlukan perlawanan seperti ini bagi mengenal pasti kelemahan.

“Diberi cabaran sebenar seperti ini bagus buat pasukan untuk melakukan persiapan lebih baik sebelum berdepan Perancis,” kata Morgan.

Perkara sama turut disuarakan jurulatih, Ellis yang percaya, inilah cabaran yang diperlukan pasukannya untuk membentuk mereka menjadi lebih baik jika mahu memburu kejuaraan keempat.

Selepas hampir tidak tercabar dalam tiga perlawanan pertama, AS dipaksa bekerja keras sepanjang 90 minit di Stadium Auguste-Delaune II, Reims.

Gawang mereka akhirnya dibolosi buat kali pertama menerusi Jennifer Hermoso seawal minit kesembilan, malah penjaga gol, Alyssa Michele beberapa kali dipaksa menyelamatkan pintu gol.

“Pertahanan kami beberapa kali melakukan kesilapan dan Alyssa bermain baik untuk menyelamatkan keadaan,” kata Ellis. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini