PASIR PUTEH – Sepasang suami isteri dari Kampung Gong Manok di sini memberanikan diri membuat kelainan apabila menggunakan cendawan dalam resepi sate ikan atau lokcing keluaran mereka.
Ibu beranak empat, Kasmarina Ismail, 32, berkata, idea untuk memperkenalkan lokcing cendawan itu timbul setelah suaminya, Mohd Harif Abdul Rashid, 35, mengikuti kursus menanam cendawan anjuran Koperasi Usahawan Cendawan Kelantan Berhad (KOKULAC) beberapa bulan lalu.
Menurutnya, pengajar kursus sebaliknya mencadangkan kepada suami supaya menggunakan bekalan cendawan penanam lain untuk dijadikan lokcing daripada bersusah-payah menanamnya sendiri.
“Kami gunakan cendawan tiram kelabu yang dikerat memanjang sebelum dimasukkan ke dalam adunan ikan selayang bersama tepung ubi kayu.
“Kalau lokcing biasa rasa ikannya lebih tetapi lokcing cendawan punya kedua-dua rasa dengan tekstur lembut tetapi padat dengan isi,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Sementara itu, Kasmarina berkata, mereka mula menjual lokcing pada tahun 2014 yang mana bekalannya diperoleh dari Rantau Panjang sebelum nekad menghasilkan lokcing sendiri daripada ikan selayang tiga tahun kemudian.
Katanya, mereka bersemangat untuk mengeluarkan produk sendiri kerana menyedari pembuatan lokcing ikan yang dijual di pasaran tempatan sebenarnya dimonopoli orang Thailand dan Kemboja.
“Sebelum ini kami tinggal di Kuala Lumpur, bila suami yang merupakan seorang penjawat awam dipindah bertugas ke negeri sendiri pada tahun 2014 kami dapat idea menjual lokcing untuk menambah pendapatan apatah lagi ia makanan kegemaran saya.
“Ketika itu kami jual lokcing yang diperoleh daripada pembekal lain tetapi memasarkannya dengan jenama Sate Ikan Harina iaitu nama gabungan suami dan saya.
“Selain menjual sendiri di pasar minggu dekat Besut, Terengganu, kami gunakan laman facebook Sate Ikan Harina untuk pemasaran dan promosi sebelum lokcing diposkan kepada pelanggan, kami juga mempunyai ejen di beberapa buah negeri seperti Johor, Melaka dan Selangor,” katanya.
Menurut Kasmarina, dahulu dia hanya menggunakan beg ‘piping’ hiasan kek untuk mendapatkan bentuk bulat lokcing yang sekata sebelum berjaya membeli mesin acuan bebola ikan sendiri pada April tahun lalu.
Katanya, dia bersyukur kerana lokcing keluarannya mempunyai permintaan yang tinggi terutama pada musim perayaan malah menjelang Syawal baru-baru ini menerima tempahan melebihi 75,000 cucuk lokcing.
“Suami saya mengambil cuti tanpa gaji selama tiga bulan bermula April lalu untuk membantu saya menguruskan perniagaan, kami juga ada tujuh pekerja yang membantu di bengkel pembuatan lokcing berdekatan rumah.
“Kami pernah menerima tempahan daripada pelajar di Yaman dan lokcing yang kami hantar melalui pos masih dalam keadaan baik meskipun melalui perjalanan jauh lebih 10 hari,” katanya. – K! ONLINE











