KUALA LUMPUR – Tan Sri Dr. Rais Yatim yang berpeluang berkhidmat di bawah kesemua enam Perdana Menteri mengingatkan sesiapa yang berlumba mahu menduduki jawatan nombor satu kerajaan supaya maklum bahawa `hanya satu perempat sahaja’ Tun Dr. Mahathir Mohamad `memberitahu dunia’.
Sementara tiga perempat lagi, kata Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan itu, Perdana Menteri akan simpan ‘untuk masa hujan, tengkujuh, masa panas’.
“Jadi, oleh kerana beliau saya kenali sejak tahun 1973, saya berpendapat dalam situasi sekarang, orang-orang yang begitu berlumba nak jadi PM atau merebut jawatan harus upaya tahu ada masa mereka akan disekat oleh situasi atau hal tidak disangka-sangka.
“Yang keduanya ialah orang yang jadi Timbalan Perdana Menteri tak semestinya jadi PM. Sudah banyak kisah kita lihat Tun Musa Hitam, Ghafar Baba dan juga Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri.
“Hal ini patut sudah dipelajari. Yang paling baik ialah buat kerja ikhlas, kemudian biar proses itu menterjemahkan.
“Tak bijak misalnya mengatakan “Oh! sudah dijanjikan pada saya. Itu janji politik, ini bukan janji Pesuruhjaya Sumpah. Jadi, upaya mengatakan “Oh! saya akan ke situ (PM), halnya sudah ditetapkan. Saya tak fikir ia semudah itu,” kata beliau dalam wawancara dengan Utusan Malaysia yang disiarkan dalam kolum Tumpang lalu hari ini. -UTUSAN ONLINE











