KUALA LUMPUR – Pendapatan bersih Proforma Permodalan Nasional Bhd. (PNB) yang digabungkan menurun 1.4 peratus kepada RM5.3 bilion tahun ini.
Penyusutan tersebut menggambarkan persekitaran pasaran yang mencabar dengan petunjuk utama pasaran FBM KLCI merosot sebanyak 2.4 peratus dalam tempoh yang sama.
Jumlah aset di bawah pengurusan (AUM) PNB bagaimanapun meningkat 7 peratus tahun ke tahun kepada RM301.4 bilion manakala bilangan pemegang akaun tumbuh 5.2 peratus kepada 14.1 juta akaun.
Prestasi ini menggambarkan keyakinan berterusan rakyat Malaysia terhadap intitusi berkenaan.
Pengerusi PNB, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz berkata, persekitaran dalam separuh tahun pertama 2019 kekal mencabar bagi semua institusi pelaburan sejajar dengan perkembangan global dan domestik.
“Walaupun begitu, kami berpuas hati kerana dapat terus mengekalkan pulangan dan pertumbuhan AUM kami serta akan memberi tumpuan sepenuhnya pada asas jangka sederhana dan panjang.
“Pada waktu tidak menentu ini, PNB akan terus melabur secara konsisten dan tidak akan membiarkan ketidaktentuan jangka pendek mengaburi potensi pulangan dalam tempoh yang lebih panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi taklimat prestasi PNB bagi separuh tahun pertama 2019 di Menara PNB di sini semalam.
Turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad.
Dalam majlis sama, Zeti turut mengumumkan agihan pendapatan bagi dua dana di bawah pengurusan anak syarikat PNB, Amanah Saham Nasional Bhd. yang mana Amanah Saham Bumiputera 3-Didik menerima 5.25 sen seunit, terdiri daripada dividen 4.85 sen seunit dan bonus 0.40 sen seunit.
Pemegang ASN Equity 2 pula menerima 2.80 sen seunit.
RINGKAS











