LONDON – Seorang penumpang syarikat penerbangan Jet 2 yang mencetuskan amaran insiden rampasan kerana cuba membuka pintu keluar ketika pesawat terbang udara, dibebaskan dengan ikat jamin polis, lapor akhbar The Sun.
Seorang penumpang lain yang ketakutan, Amy Varol berkata, wanita berusia 25 tahun itu memegang tombol pintu pesawat sebelum beberapa kru kabin menjatuhkannya ke atas lantai.
Varol yang duduk dua barisan di belakang wanita itu memberitahu akhbar The Sun bahawa suspek berjalan di laluan tengah antara tempat duduk penumpang dan berlari ke arah pintu keluar.
“Wanita itu meletakkan tangannya pada pemegang pintu untuk cuba membukanya.
“Mujurlah dua kabin kru menariknya dari pintu tersebut,” kata Varol.
Beberapa penumpang lelaki membantu kru kabin memberkas wanita tersebut dalam insiden yang berlaku minggu ini selepas 45 minit pesawat itu berlepas dari Stansted menuju ke Dalaman, Turki.
Dua jet pejuang Typhoon milik Tentera Udara Diraja Britain dikerah untuk memintas pesawat jenis Airbus 321 itu dan mengiringinya mendarat di Lapangan Terbang Stansted selepas suspek didakwa mengugut mahu membunuh penumpang lain.
Pesawat itu mendarat dengan selamat di lapangan terbang berkenaan.
Polis berkata, wanita tersebut yang berasal dari pekan Maidenhead, Berkshire ditahan kerana disyaki menyerang, melakukan jenayah kerosakan dan membahayakan sebuah pesawat.
Dia kemudiannya dibebaskan dengan ikat jamin sehingga 30 Julai ini, kata polis. – Agensi











