KUALA LUMPUR – Pejabat Menteri Pertahanan melahirkan rasa kesal dengan Malaysia Airlines Bhd. (Malaysia Airlines) apabila kelewatan pesawat syarikat penerbangan negara itu telah membuatkan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu terlepas temu janji dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Menurut Pejabat Menteri Pertahanan dalam kenyataan hari ini, Mohamad sepatutnya mempunyai temu janji penting dengan Dr. Mahathir di London, United Kingdom 16 Jun lalu ketika Perdana Menteri sedang mengadakan lawatan kerja ke negara berkenaan.
Jelas kenyataan itu, Mohamad yang dalam perjalanan ke Perancis dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sepatutnya singgah di London namun kelewatan pesawat telah membuatkan pertemuan itu gagal diadakan.
“Disebabkan kelewatan pesawat Malaysia Airlines MH0002 untuk berlepas selama lebih kurang dua jam 30 minit dari Kuala Lumpur pada malam 15 Jun, temu janji yang sepatutnya berlaku pada pagi 16 Jun itu gagal untuk berlangsung.
“Menteri Pertahanan singgah ke London semata-mata untuk bertemu dengan Perdana Menteri dalam perjalanannya untuk lawatan rasmi ke Perancis.
“Kesulitan ini amat dikesali dan diharapkan pihak Malaysia Airlines tidak akan mengulanginya pada masa akan datang,” katanya di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











