Mempunyai jenama kukuh dan berkredibiliti tinggi, yang diikuti beribu-ribu malah berjuta orang dalam media sosial memang seronok. Siapa yang tidak suka dirinya menjadi popular seakan-akan selebriti sebenar atau jenama syarikatnya dikenali ramai.
Namun, di sebalik keceriaan status-status Instagram, Facebook dan Twitter, tidak ramai yang tahu betapa gigih individu ataupun jenama tersebut bekerja keras siang dan malam memastikan semuanya berjalan dengan lancar.
Tidak ramai yang tahu tentang rahsia bagaimana seseorang itu mempunyai kebolehan membina kredibiliti yang kuat dalam media sosial dan membolehkannya meraih pendapatan lumayan setiap hari, minggu ataupun bulan melalui projek-projek yang masuk.
Kejayaan dalam media sosial sebenarnya bukan terletak pada kecantikan seseorang. Mungkin ia membantu tetapi bukan penyebab utama. Ia bukan juga terletak pada jenis telefon pintar dan kamera yang digunakan agar setiap gambar yang diperoleh akan kelihatan cantik dan berkualiti. Dan ia bukan juga terletak pada jenis baju, mekap atau aksesori yang digunakan semata-mata.
Konsisten. Ini rahsia sebenar kejayaan seseorang atau jenama dalam media sosial.
Apakah yang dimaksudkan oleh konsisten? Ia bermaksud anda perlu melakukan setiap perkara melibatkan pemasaran media sosial anda secara berterusan pada kadar yang sama.
Muat naik setiap status
Untuk mendapatkan capaian lebih baik dalam media sosial, terdapat beberapa artikel sebelum ini yang pernah saya baca menyatakan bahawa seseorang atau sesuatu jenama itu perlu memuat naik sekurang-kurangnya satu hingga lima kali setiap hari status di platform media sosial masing-masing untuk kekal relevan.
Sekiranya anda berhasrat memuat naik tiga status sehari contohnya, mungkin pukul 8 hingga 10 pagi satu status, pukul 12 tengah hari hingga 2 petang satu status dan pukul 5 hingga 7 petang satu status, anda perlu berterusan memuat naik sebegini setiap hari tidak kira pada hari bekerja, hujung minggu dan juga hari-hari perayaan.
Dari sini, baru anda akan mula melihat pertumbuhan dari aspek kadar interaksi, jumlah pengikut meningkat dan juga pesanan terus yang diterima bertanyakan tentang produk atau perkhidmatan yang anda sediakan.
Penyediaan kandungan
Persoalannya sekarang, apakah bentuk status yang perlu anda muat naik? Hanya anda sahaja yang boleh menjawab tentang bentuk atau jenis kandungan yang sesuai dengan hala tuju anda.
Buat masa ini, kebanyakan komuniti di platform media sosial seperti di Instagram, Facebook dan Twitter gemar dengan kandungan berbentuk video pendek, gambar dan reka bentuk grafik. Penulisan artikel panjang pula hanya sesuai di platform seperti LinkedIn dan Medium.
Berinteraksi
Memuat naik status bersama video atau gambar yang menarik dalam media sosial kegemaran anda satu hal, tetapi meluangkan masa untuk bersembang dan membalas komen-komen juga satu hal penting yang tidak dapat tidak, perlu dilakukan juga.
Ia akan menonjolkan kredibiliti anda sebagai seorang atau satu jenama yang ramah. Apabila komuniti anda melihat anda seorang peramah dan suka membalas komen-komen ditulis para pengikut anda, mereka akan berasa lebih rapat lagi dengan anda. Dan apabila ini berlaku, mereka akan tidak teragak-agak mempercayai anda.
Mendapatkan bantuan
Terdapat juga jenama-jenama yang mahu aktif di pentas media sosial untuk meraih populariti bagi mendapatkan jualan tetapi tidak berkemampuan meluangkan masa di hadapan komputer dan peranti mudah alih berjam-jam sehari dengan konsisten ataupun tidak mempunyai pasukan pemasaran media sosial yang berpengetahuan tinggi untuk melakukan aktiviti ini.
Jadi, sekiranya anda berada dalam situasi begini, jangan tunggu-tunggu lagi. Dapatkan bantuan dari individu atau syarikat yang mahir dalam media sosial atau pemasaran digital yang anda kenali segera.
Pastikan bukan sahaja kadar bayaran yang mereka sediakan berpatutan, tetapi juga mereka benar-benar berkebolehan dari segi teknikal untuk membantu anda. Jangan lupa untuk meminta beberapa nama para pelanggan sedia ada untuk anda lihat hasil kerja mereka dalam media sosial. Jangan terus bersetuju dengan melantik individu tersebut dengan cepat, selidik dahulu latar belakang mereka agar anda tidak tertipu.











