KUALA LUMPUR 24 Jun – Dana asing membeli RM28.3 juta ekuiti bersih tempatan pada minggu lalu yang mana jumlah itu merupakan aliran masuk asing mingguan kedua terendah tahun ini.
MIDF Research dalam nota kajian berkata, Bursa Malaysia memulakan minggu lalu dengan pelabur asing melupuskan RM115 juta pada Isnin kerana menjangkakan keputusan kadar faedah yang rendah terutama daripada Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) selepas data menunjukkan kemungkinan bank pusat itu akan meringankan dasar monetari.
Bagaimanapun, katanya, jualan bersih asing turun kepada RM14.6 juta pada Selasa berikutan terdapat kenaikan sedikit di Wall Street di tengah-tengah perang dagangan antara AS dan China serta kemungkinan kesan pertumbuhan terhadap ekonomi.
“Dana antarabangsa membeli RM125.2 juta ekuiti tempatan pada Rabu kerana didorong oleh prospek mesyuarat lanjutan antara Presiden AS, Donald Trump bersama rakan sejawatnya dari China, Xi Jinping di Jepun sempena Kemuncak G-20.
“Mesyuarat tersebut menyambung semula perbincangan selepas tidak mencapai kata putus pada rundingan terdahulu. Bagaimanapun, pelabur luar pesisir kembali menjual ekuiti tempatan sebanyak RM20.9 juta pada Khamis,” katanya di sini hari ini.
Tambah firma itu, aliran masuk asing pada Jumaat berjumlah RM28.3 juta yang sebahagiannya disumbangkan oleh peningkatan 0.4 peratus dalam FBM KLCI untuk mencapai penutupan tertinggi sejak 20 Mac tahun ini.
Katanya, ia turut diikuti oleh isyarat Rizab Persekutuan AS yang bersedia menurunkan kadar faedah buat kali pertama sejak 2008.
“Pelabur asing setakat ini telah melupuskan ekuiti bersih sebanyak RM37.1 juta dengan dagangan Jun hanya berbaki seminggu lagi. Jumlah aliran keluar bersih asing dari Malaysia setakat ini berjumlah RM4.84 bilion.
“Pelabur asing muncul sebagai kumpulan pelabur dengan peningkatan terbesar dari segi nilai dagangan purata harian (ADTV) iaitu 25.7 peratus kepada RM1.45 bilion. Ini merupakan tahap penglibatan terbesar dalam tempoh tiga minggu,” katanya.











