KUALA LUMPUR 24 Jun – Pelaburan dalam projek minyak dan gas (O&G) semasa harga minyak rendah terutama dalam projek yang memerlukan tempoh matang yang panjang masih tidak mencukupi dan ia akan menyebabkan industri menerima kesan beberapa tahun akan datang.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Petroliam Nasional Bhd., Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, belum banyak keputusan pelaburan akhir (FID) dibuat terutama melibatkan projek gas asli cecair (LNG).
“Petronas bagaimanapun, mempunyai portfolio pembekalan sumber bekalan LNG di Malaysia, Mesir, Kanada dan Australia dan ia akan menjadi penyumbang besar kepada pendapatan Petronas.
“Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang, Johor dijangka memulakan operasi pada suku keempat tahun ini,” katanya pada sesi Dialog Strategi CEO sempena Persidangan Minyak dan Gas Asia Ke-20 (AOGC 2019) di sini hari ini.
Wan Zulkiflee berkata, Petronas telah melabur kira-kira AS$26 bilion (RM10.78 bilion) di RAPID, projek terbesarnya.
Kompleks tersebut mempunyai kapasiti penapisan 300,000 bar sehari dan 3.3 juta tan pengeluaran petrokimia.
“Kami mengambil pandangan positif ke atas permintaan petrokimia, kami bersetuju untuk melaksanakan projek ini pada masa harga minyak benar-benar rendah. Sekarang pembinaannya hampir selesai, kami berharap dapat beroperasi secara komersial pada akhir tahun ini,” kata Wan Zulkiflee.
Dalam pada itu, beliau berkata, Petronas mengambil pendekatan yang sewajarnya terutama dalam segmen tenaga boleh diperbaharui (RE) dan memastikan pihaknya tidak terlalu terburu-buru.
“Ini adalah bagi sebab yang sangat baik di mana pulangan daripada segmen RE tidak sama seperti pulangan dalam O&G konvensional. Pada asasnya, kita perlu menentukan bagaimana pelaburan yang diperlukan supaya ia tidak akan terkompromi secara kewangan tetapi pada masa sama mempunyai kecekapan untuk bermain di dalam segmen tersebut apabila tiba masanya.
“Secara jujur, hanya masa akan memberitahu sama ada kita telah mengambil keputusan yang tepat dari segi pelaburan kita dalam hidrokarbon dan RE,” katanya.











