Tidak perlu mahal belajar saham - Utusan Malaysia

Tidak perlu mahal belajar saham

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 24 Jun – Yuran mempelajari ilmu saham pada masa kini boleh mencecah sehingga puluhan ribu ringgit sama se­perti yuran kemasukan ke institut pengajian tinggi, menurut kolumnis Cikgu Saham di Utusan Malaysia, Zuraida Mohd. Zakaria.

Beliau berkata, ini disebabkan ramai yang ingin menjana pendapatan untuk meningkatkan taraf ekonomi yang semakin tinggi di samping kesedaran tentang bahayanya pelaburan skim meragukan dan tidak sah.

ZURAIDA ZAKARIA
ZURAIDA ZAKARIA

Katanya, pelaburan atau perdagangan saham boleh diuruskan sendiri secara dalam talian atau melalui ejen bertauliah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Portfolio pelaburan ber­cetak akan dihantar ke alamat pelabur dan pada waktu sama boleh dipantau sendiri di dalam talian.

“Sungguhpun pelaburan saham ini terdedah kepada risiko kerugian, ia masih merupakan satu pelaburan yang semakin mendapat tempat dalam ka­langan kaum bumiputera dan orang Melayu khasnya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dengan adanya hebahan atau promosi tentang pelaburan saham sama ada di media cetak, elektronik mahupun media sosial, kesedaran tentang pelaburan saham semakin berkembang dan mendapat tempat dalam kalangan generasi muda dan golongan pertengahan.

Jelas beliau, banyak seminar dan kelas pendidikan saham muncul secara berbayar mahupun percuma tetapi tidak semua kelas atau seminar disediakan memberi kepuasan, menepati matlamat pelaburan atau perdagangan seseorang dari segi pengisian mahupun harga.

Tambahnya, ramai orang tidak dapat membuat pilihan tepat malah tersilap memilih kursus ditawarkan, justeru, mereka perlu tahu kelas yang sesuai kerana pembelajaran saham ini mempunyai banyak ­peringkat.

“Sebagai permulaan, perlu hadir di peringkat asas dahulu. Peringkat asas ini tidak perlu terlalu mahal. Memadai yuran yang dikenakan tidak lebih RM1,000.

“Tempoh masa belajar untuk peringkat permulaan ini juga tidak perlu terlalu lama, memadai hanya separuh hari dan tidak lebih daripada satu hari,” katanya.

Sekiranya, peserta faham dan berminat untuk meneruskan lagi pembelajaran di peringkat lanjutan, mereka boleh memilih sama ada untuk menjadi pelabur atau pedagang atau kedua-­duanya sekali.

Orang ramai perlu me­nyemak latar belakang atau profil ­individu atau syarikat yang ­menawarkan pendidikan saham. Lebih baik lagi sekiranya penceramah merupakan individu bertauliah, mempunyai lesen pasaran modal dan pen­ceramah yang mewakili syarikat pula menjalankan aktiviti bersangkutan dengan pasaran saham serta diiktiraf oleh pelbagai agensi dan mendapat kelulusan Suruhanjaya Sekuriti.

Permintaan untuk mendapatkan ilmu saham yang berkualiti dengan harga berpatutan memberikan inspirasi untuk Zuraida mengadakan Seminar Pasaran Modal Utusan pada 28 Julai ini.

Beliau bersama dua lagi penceramah jemputan akan memberi panduan dan berkongsi kaedah untuk cara bagaimana membuat kajian saham secara mudah dan sistematik

Cikgu Saham yang tidak asing dalam kalangan warga saham media sosial juga merupakan panel di segmen Monink Blues, Utusan Online pada setiap dua minggu membicarakan tentang pelaburan saham.

Untuk mendaftar ke Seminar Pasaran Modal Utusan, sila hubungi talian 010-836 0826 atau 013-310 8156.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini