Weiron kecewa gagal cipta kemenangan di Suzuka - Utusan Malaysia

Weiron kecewa gagal cipta kemenangan di Suzuka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUZUKA, Jepun- Pemandu berbakat negara, Weiron Tan berdepan pengalaman pahit manis pada Pusingan 3 Cabaran Blancpain GT Dunia Siri Asia yang melabuhkan tirainya di Sirkit Antarabangsa Suzuka, Jepun, semalam.

Weiron dan rakan sepasukannya di Audi Sport Asia Team Absolute Racing, Martin Rump memulakan saingan dengan positif apabila bermula dari petak utama perlumbaan yang juga pertama buat mereka musim ini apabila catatan masa 2 minit 02.681 saat pada sesi kelayakan.

Begitupun pada Perlumbaan 1, nasib tidak menyebelahi duo berkenaan apabila tayar kereta mereka pancit ketika sedang mendahului saingan menyaksikan kereta mereka terpaksa memasuki pit bagi menukar tayar.

Memuatkan artikel berkaitan…

Gandingan itu jelas bergelut untuk mengejar masa namun masih mampu menamatkan perlumbaan di tempat ke-11 keseluruhan dan ketujuh dalam kelas GT3S, melengkapkan 28 pusingan saingan dengan catatan 1:01:14.337s.

Pada Perlumbaan 2, gandingan itu memulakan saingan dari petak ke-15 dalam saingan yang menyaksikan satu insiden pada awal perlumbaan sedikit mengganggu rentak pemanduan.

Bagaimanapun, Weiron dan Rump mampu menemui garisan penamat kelima keseluruhan dan ketiga untuk kelas disertai dengan catatan, 1:01:23.518s.

“Agak kecewa apabila (pusingan) Suzuka tidak berlangsung seperti yang diharapkan. Kami menemui pelarasan yang baik untuk jentera namun kami melepaskan peluang terbaik bagi meraih kemenangan.

“Kami berada di petak utama untuk Perlumbaan 1 selepas rakan sepasukan melakukan tugasnya dengan baik namun selepas mendahului saingan, tayar kami pancit dan terpaksa melakukan hentian pit tambahan.

“Ketika giliran saya, kami memutuskan untuk tidak melakukan pertukaran tayar dan cuba menjimatkan penggunaan (tayar) untuk hari berikutnya.

“Jujurnya, ia sesuatu yang sukar buat saya kerana tahap penggunaan tayar begitu tinggi namun kami masih mampu menamatkan saingan di tempat ke-11 keseluruhan,” katanya ketika mengulas perlumbaan pertama.

Dalam perlumbaan 2, kemalangan yang berlaku di awal perlumbaan sedikit sebanyak mengganggu pemanduan tetapi Weiron gembira dapat menamatkan perlumbaan di tempat lebih baik.

“Untuk Perlumbaan 2, saya bermula dari petak ke-15 dan mampu berada di posisi lebih baik pada pusingan pertama perlumbaan. Saya perlu mengelak pelanggaran dengan kereta lain pada selekoh akhir. Saya hilang banyak posisi yang diraih dan perlu bersaing semula.

“Apapun, kami memperoleh strategi hentian pit yang baik dan kelajuan kami amat bagus. Kami meraih tempat kelima keseluruhan dan ketiga dalam kelas kami mata yang penting buat kami tetapi ia bukan minggu seperti yang diharapkan.

“Saya amat menantikan pusingan seterusnya di Fuji Speedway litar yang saya pernah meraih kemenangan dalam WEC. Pusingan seterusnya (perlumbaan tujuh dan lapan) di Fuji Speedway pada 6 dan 7 Julai ini.” ujarnya.

Fuji pasti akan mengimbau kembali memori indah buat Weiron yang pernah menyaksikan dia bersama rakan pasukan Nabil Jeffri dan Jazeman Jaafar muncul sebagai barisan pemandu Malaysia pertama memenangi perlumbaan di Kejuaraan Endurance Dunia (WEC), di mana trio berkenaan bergabung kepakaran dalam kelas LMP2 di WEC. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini