PARIS – Bekas pemain No. 8 dunia, Marcos Baghdatis yang pernah muncul sebagai naib juara Terbuka Australia pada 2006, akan bersara daripada sukan tenis selepas Kejohanan Wimbledon, umum pemain Cypriot berusia 34 tahun itu, hari ini.
“Keputusan ini bukan mudah. Ia sukar untuk saya lakukan, terutama dengan keadaan fizikal saya. Saya tidak lagi mampu untuk mencapai prestasi seperti dulu.
“Walaupun minda saya masih mahu melakukannya, had tubuh saya menghalang saya untuk mengekalkannya dan bermain secara konsisten di peringkat tertinggi seperti mana yang saya mahukan.
“Lebih-lebih lagi sejak dua tahun terakhir ini, ia amat menyukarkan buat saya selepas pulih daripada kecederaan berulang,” kata Baghdatis yang mana rankingnya jatuh merudum ke tangga 138 dunia dan diberikan tiket wild card untuk beraksi pada Wimbledon, tahun ini yang bermula 1 Julai.
Baghdatis, yang tewas kepada Roger Federer pada perlawanan akhir Terbuka Australia 2006 dan tunduk di tangan Rafael Nadal dalam separuh akhir Wimbledon pada tahun yang sama pernah memenangi empat gelaran ATP sepanjang kariernya. – AFP











