KUALA TERENGGANU – Seramai 256 pemandu kereta klon telah disenaraihitam sejak 2015 hingga Mei tahun ini kerana gagal hadir ke mahkamah.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu, Zulkarnain Yasin berkata, kesemua pemandu yang disenaraihitam tidak boleh memperbaharui cukai jalan dan lesen serta melakukan semua urusan lain berkaitan JPJ sehingga kes mahkamah tersebut diselesaikan.
“Dari 2015 sehingga Mei tahun ini, sebanyak 51 kes kereta klon di Terengganu berjaya diselesaikan dan pemandu telah membayar denda di mahkamah dengan jumlah keseluruhan RM384,900,” katanya kepada pemberita pada majlis jamuan Aidilfitri JPJ Terengganu, di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau menyarankan orang ramai yang membeli kenderaan dengan harga murah 50 peratus berbanding harga pasaran agar membuat pemeriksaan di JPJ.
“Khidmat pemeriksaan disediakan secara percuma oleh Bahagian Kejuruteraan Automotif bagi membantu orang ramai supaya tidak tertipu oleh sindiket kereta klon,” katanya. – Bernama











