KUALA LUMPUR 24 Jun- Polis menahan tiga lelaki dipercayai terlibat dengan kes samun sebuah kedai runcit di Hulu Langat, Kajang dekat sini pada 14 Jun lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.29 petang itu, pihak polis menerima satu laporan daripada seorang wanita yang memaklumkan seutas gelang tangan miliknya telah dilarikan tiga lelaki yang berpura-pura membeli air dan ais.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yusoff berkata, ketika cuba melarikan diri, kereta dinaiki suspek terbabas berhampiran tempat kejadian.
“Orang awam yang berada di tempat kejadian telah menahan seorang lelaki manakala dua lagi berjaya melarikan diri.
“Hasil siasatan terhadap suspek yang ditahan, kami menahan tiga lagi suspek dipercayai terbabit dalam kegiatan samun di Hulu Langat pada hari yang sama dan kesemua mereka berusia antara 25 hingga 30 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini..
Ahmad Dzaffir berkata, pihaknya turut merampas sebuah kereta, empat motosikal dilaporkan hilang, 10 telefon pintar dan rantai emas.
Katanya, dengan penahanan kesemua suspek itu, pihak polis yakin dapat menyelesaikan tiga kes samun dan empat kes curi motosikal.
“Semua suspek masih ditahan reman bagi membantu siasatan kes di daerah lain. Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan atas kesalahan samun.
“Kita juga sedang mengesan seorang lagi lelaki dikenali sebagai Simba dipercayai terlibat dengan kejadian ini. Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Norazwan di talian 013-3928357,” katanya.-UTUSAN ONLINE











