JASIN – Sebuah lori membawa muatan batu kerikil nyaris merempuh sebuah rumah selepas terbabas dalam satu kemalangan di Jalan Bukit Katong, Rim di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, pemandu lori yang berusia 54 tahun bagaimanapun hanya mengalami cedera ringan dan dihantar ke Hospital Jasin untuk menerima rawatan.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Arshad Abu berkata, kejadian berlaku apabila lori tersebut yang dalam perjalanan dari arah Bukit Katong ke Jasin mengalami kerosakan brek semasa tiba di lampu isyarat Taman Mesra Rim.
“Lori tersebut terus meluncur dan pemandunya cuba mengawal kenderaan itu sehingga melanggar pagar sebuah rumah yang terletak di sebelah kanan jalan.
“Akibat kemalangan itu, pemandu lori tersebut mengalami cedera ringan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, kes ini disiasat mengikut Rule 10 LN 166/59 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kemalangan. – UTUSAN ONLINE











