MOSCOW 24 Jun – Seekor kucing yang kudung empat kaki akibat radang dingin atau frostbite mendapat kehidupan baharu selepas mampu berjalan semula dengan empat kaki palsu berikutan beberapa siri pembedahan yang dijalaninya.
Lapor RT News, penggunaan kaki palsu oleh kucing bernama Redhead dari Novosibirsk, Siberia itu menjadikannya sebagai haiwan pertama yang berjalan menggunakan empat kaki palsu.
Pakar Veterinar, Dr. Sergei Gorshkov berkata, selain kakinya, telinga Redhead turut diserang radang dingin.
Ekoran itu, doktor terpaksa memotong kesemua kaki kucing tersebut bagi mengelak serangan radang tersebut merebak ke bahagian lain Redhead.
Kata Gorshkov, selepas pulih, veterinar membuat persiapan pembedahan ke atas Redhead bagi membolehkannya berjalan semula.
“Kami membuat persiapan selama setahun kerana tidak pernah ada kes seumpama ini di dunia apabila seekor kucing menggunakan empat kaki palsu,” kata Gorshkov.
Selepas menjalani pembedahan, Redhead dilihat gembira dan melompat-lompat dengan empat kaki baharunya yang diperbuat daripada titanium.
Redhead juga menggunakan kaki itu untuk mempertahankan dirinya daripada diserang kucing-kucing lain. –AGENSI











