Saham KL ditutup rendah - Utusan Malaysia

Saham KL ditutup rendah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini apabila para pelabur mengambil keuntungan dalam pasaran terlebih belian selepas kenaikan empat hari berturut-turut.

Pada penutup, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 6.10 mata atau 0.36 peratus untuk ditutup kepada 1,676.13 berbanding paras penutup 1,682.23 pada Jumaat minggu lepas.

Indeks utama itu yang dibuka 2.95 mata lebih rendah kepada 1,679.28 bergerak antara paras 1,674.40 dan 1,679.28 sepanjang sesi dagangan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Suasana pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 518 berbanding 294, manakala 356 kaunter tidak berubah, 732 tidak diniagakan dan 22 yang lain digantung.

Jumlah dagangan turun kepada 1.81 bilion unit bernilai RM1.68 bilion daripada 2.23 bilion unit bernilai RM3.05 bilion sebelumnya.

Pengarah Jupiter Securities Sdn Bhd, Nazarry Rosli berkata aliran menurun hari ini adalah disebabkan oleh pengambilan untung semata-mata kerana sentimen asas kekal kukuh.

“Ia adalah aktiviti pengambilan untung yang sihat,” katanya kepada Bernama sambil menambah aktiviti tersebut dijangka berterusan bagi tempoh beberapa hari.

Selain itu, beliau berkata para pelabur juga yakin dengan kemajuan rundingan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China menjelang pertemuan yang ditunggu-tunggu antara Presiden AS Donald Trump dan rakan sejawatannya dari China Xi Jinping pada Sidang Kemuncak G20 di Jepun pada minggu ini.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata Beijing memberi jaminan kepada Malaysia bahawa ia tidak mahu memanjangkan perang perdagangan itu, sambil menambah China mencari jalan penyelesaian yang baik atas dasar saling menghormati dan kemakmuran bersama bagi memberi manfaat kepada semua pihak. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini