IPOH 24 Jun – MK Land Holdings Berhad (MK Land) menerusi anak syarikatnya, Zaman Teladan Sdn Bhd hari ini melancarkan projek perumahan terbaharunya melibatkan 139 unit rumah dua tingkat Emerald 6 yang dijual pada harga bermula RM287,000.
Rumah berkeluasan 1,570 kaki persegi di Klebang Putra itu merupakan kesinambungan projek Emerald 1 hingga 5 yang mendapat sambutan hangat daripada para pembeli.
Timbalan Ketua Pegawai Operasi MK Land, Kamarulzaman Abu Bakar berkata, pihaknya meneruskan tradisi menjual rumah mampu milik yang disasarkan di bawah paras harga RM300,000.
“Sehingga kini, kita telah membina sebanyak 47,000 unit kediaman di mana 31,000 daripadanya merupakan rumah mampu milik.
“Terkini, kita juga bekerjasama dengan anak syarikat kerajaan negeri iaitu Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) untuk membina rumah mampu milik berhampiran Simpang Pulai bagi projek Rumah Perakku bermula pada harga RM70,000,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri dan pelancaran Emerald 6 yang disempurnakan oleh Pengerusi Eksekutif MK Land, Felina Mustapha Kamal dan turut dihadiri oleh Pengurus Besar Kanannya, Norida Abu Kassim.
Projek perumahan Emerald 6 yang berkonsepkan ‘lebih besar dan lebih murah’ itu dijangka siap pada tahun 2021.
Ketika ini, sebanyak 103 unit kediaman Emerald 5 sedang rancak dibina dan ia dijangka siap pada penghujung tahun ini. – UTUSAN ONLINE











