KOTA BHARU – Ketika berurusan dengan seorang peniaga barangan kosmetik, dua lelaki secara senyap-senyap dikatakan membawa masuk bungkusan kain berisi sepucuk pistol, peluru dan gari bersama mereka ke dalam sebuah rumah di Kampung Kubang Bemban, Pasir Mas kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.45 malam, helah suspek tidak bertahan lama apabila suspek yang berusia 27 dan 31 tahun ditahan polis yang bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan daripada mangsa.
Difahamkan, ketika polis tiba, salah seorang suspek berada di ruang tamu manakala seorang lagi berada di tandas rumah mangsa.
Pemeriksaan lanjut kemudiannya membawa kepada penemuan sepucuk pistol jenis Revolver berisi enam butir peluru serta satu beg kecil mengandungi 13 butir peluru, tiga kelongsong serta gari dalam sehelai kain yang digantung di tandas tersebut.
Selain itu, polis turut menjumpai pelbagai senjata tajam seperti sebilah parang, pisau, lastik, pedang, kapak serta satu straw berisi syabu dan satu plastik berisi 14 pil kuda bernilai kira-kira RM4,000 di dalam kereta Perodua Myvi yang dinaiki suspek.
Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, semasa kejadian, mangsa yang berusia 54 tahun dikunjungi dua lelaki dalam keadaan mencurigakan yang memberi alasan ingin membeli barangan kosmetik daripadanya.
Katanya, mangsa berasa was-was dengan niat sebenar dua lelaki terbabit dan secara diam-diam bertindak menghubungi pihak polis.
“Mereka berdua kini ditahan untuk siasatan lanjut ekoran penemuan pistol bersama peluru dan gari di tandas rumah mangsa serta pelbagai senjata tajam dan dadah dalam kereta dinaiki mereka.
“Siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti motif sebenar suspek ke rumah mangsa bersama senjata dan dadah itu. Mereka direman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.
Tambah beliau, suspek berusia 27 tahun didapati positif dadah jenis metamphetamine dan mempunyai dua rekod lampau membabitkan kesalahan judi serta kegagalan mempamerkan kad pengenalan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat)1971, Seksyen 8 Akta Senjata 1960, Seksyen 7 Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam perkembangan berkaitan, Azmi memberitahu, tujuh senjata api berjaya dirampas pihaknya bermula Januari lalu hingga semalam manakala sepanjang 2018 dan 2017 pula, rampasan dibuat masing-masing melibatkan sebanyak 25 dan 18 senjata api,” – UTUSAN ONLINE











