Langkawi kawasan merah, perlu diselesaikan secara holistik - Utusan Malaysia

Langkawi kawasan merah, perlu diselesaikan secara holistik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU – Masalah dadah di Langkawi, Kedah yang sememangnya merupakan salah satu kawasan dikategorikan sebagai ‘merah’ sejak dahulu lagi dan perlu ditangani secara hoslitik dengan kerjasama semua pihak.

Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, sebanyak 1,378 orang penagih direkodkan di kawasan berkenaan dari 2014 sehingga 2018.

Katanya, malah masalah berkenaan telah diangkat ke jawatankuasa membanteras dadah peringkat negeri yang dipengerusikan oleh Menteri Besar dengan perhatian diberikan secara menyeluruh.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita melaksanakan projek bersepadu dengan kerjasama pelbagai pihak bagi menangani masalah berkenaan. Diakui Langkawi khususnya Kuah merupakan salah satu kawasan merah daripada 178 lokasi di seluruh negara yang diberikan perhatian serius.

“Apa yang saya hendak tekankan, masalah ini perlu dilihat secara menyeluruh baharu selesai. Semua pihak perlu bekerjasama dalam menyelesaikan masalah ini dari peringkat keluarga, sekolah dan akar umbi lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam Mingguan Malaysia dalam laporan eksklusifnya mendedahkan mengenai dadah yang bebas di bawa masuk ke pulau peranginan antarabangsa itu.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata, jika masalah lambakan bahan terlarang itu tidak dibanteras segara, tidak mustahil pulau peranginan terkenal itu menjadi ‘gedung’ dadah suatu hari nanti.

Menurutnya, perkara tersebut juga telah disuarakan secara peribadi oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang begitu bimbang ancaman kegiatan dadah ini yang dilihat seolah-olah tidak terkawal.

Tambah Zulkifli, pihaknya sedang melaksanakan program hijrah iaitu penagih yang selesai menjalani tempoh rawatan tidak dibenarkan pulang lagi ke kampung halaman bagi mengelak masalah sama berulang.

“Kita akan hantar mereka ke tempat baharu untuk bekerja dan memulakan kehidupan baharu. Selepas mereka benar-benar pulih dan tidak ada hati lagi dengan barang terlarang itu, kalau hendak pulang (kampung halaman), bolehlah pulang,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini