Dadah di Langkawi tidak terlalu parah - Utusan Malaysia

Dadah di Langkawi tidak terlalu parah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – Masalah penyalahgunaan dadah di Pulau Langkawi, dekat sini tidak terlalu parah seperti digambarkan pihak tertentu kerana pihak polis dan agensi-agensi berkaitan sentiasa melakukan pemantauan dan operasi bagi membanteras gejala itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, Mohd. Firdaus Ahmad berkata, kenyataan bekas Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Ir. Nawawi Ahmad yang menyifatkan pengedar-pengedar dadah besar bebas membekalkan barang terlarang itu kepada ‘tokan’ adalah tidak tepat.

Menurutnya, ia adalah satu tuduhan bermotifkan politik kerana Langkawi ketika ini diwakili Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kenyataan itu tidak memperincikan situasi sebenar yang berlaku di pulau peranginan itu.

“Janganlah mengeluarkan kenyataan yang menjurus kepada ketidakcekapan anggota polis yang selama ini bekerja keras menjaga keselamatan dan membanteras penyalahgunaan dadah,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Negeri di sini, hari ini.

Semalam, Nawawi antara lain berkata, dadah amat mudah dibawa masuk ke Langkawi apatah lagi sukar untuk membezakan nelayan atau mereka yang mengambil kesempatan mengedar dadah apabila terdapat kira-kira 5,000 buah bot di sekitar pulau itu.

Mengulas lanjut, Firdaus yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia dan Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri berkata, tangkapan pihak polis pada tahun lalu juga menunjukkan peningkatan berbanding dua tahun lalu.

“Pada 2017, sebanyak 732 kes direkodkan dengan 978 tangkapan, manakala pada tahun lalu, polis daerah itu berjaya membuat sebanyak 1,196 tangkapan daripada 826 kes meliputi kesalahan memiliki, mengedar dan menyalahgunakan dadah.

“Ini menunjukkan usaha berkesan, agresif dan bersepadu pihak polis bersama agensi berkaitan sejak kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah. Kadar kekerapan operasi dan tangkapan yang meningkat, sedikit sebanyak telah menggentarkan pihak yang ingin melanggar undang-undang,” katanya.

Tambah beliau, agensi seperti Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia juga menjalankan tugas dengan konsisten di perairan pulau itu bagi mengekang kemasukan bot-bot yang membawa dadah ke pulau itu.

“Malah, Ketua Polis negeri, Datuk Zainuddin Yaacob dan Ketua Polis daerah, Superintenden Mohd. Iqbal Ibrahim sendiri turut melancarkan kempen jihad perangi dadah yang menunjukkan kesungguhan mereka untuk membanteras dadah,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini