Kastam rampas rokok bernilai RM1.83 juta - Utusan Malaysia

Kastam rampas rokok bernilai RM1.83 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT – Kastam merampas 15,000 karton rokok jenama John bernilai RM1.83 juta termasuk cukai dalam dua serbuan berasingan di dua pangkalan haram dekat sini Jumaat lalu.

Pengarah Kastam negeri, Mohd. Rakbi Mat Saud berkata, rampasan itu merupakan kes terbesar pada tahun ini dan kesemua rokok itu dipercayai untuk pasaran tempatan namun tidak menolak kemungkinan turut dihantar ke Terengganu berikutan jumlahnya yang terlalu banyak.

“Serbuan pertama dilakukan oleh Pasukan Marin Kastam cawangan Penguatkuasaan Pengkalan Kubor kira-kira pukul 5 pagi apabila mengesan dua buah bot pancung yang menuju ke arah Kuala Besar, Kota Bharu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pasukan telah mengejar kedua-dua bot itu sehingga mengambil masa lebih kurang 15 minit sebelum berjaya menahan sebuah bot di hadapan jeti Pulau Beluru dekat sini bagaimanapun dua lelaki yang berada di dalam bot itu berjaya meloloskan diri selepas mendarat,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, hasil pemeriksaan pihaknya menemukan sebanyak 8,000 karton yang mengandungi sebanyak 1.6 juta batang rokok yang dianggarkan bernilai RM128,000 dengan cukai terlibat sebanyak RM850,560.

“Kesemua barang rampasan dibawa balik ke pejabat termasuk bot bernilai RM50,000 telah dirampas. Kes akan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967,” ujarnya.

Dalam serbuan kedua, Mohd. Rabki berkata, pihaknya menemukan 7,000 karton rokok putih jenama sama yang ditutup dengan kanvas berwarna biru dipercayai untuk menggaburi mata pihak berkuasa di kawasan tebing Pulau Tongkang dekat sini kira-kira pukul 8 pagi.

“Kesemua rokok itu dianggarkan bernilai RM112,000 dengan taksiran cukai sebanyak RM744,240. Kes akan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) akta yang sama.

“Kami percaya kesemua rokok itu milik salah sebuah bot yang terlepas ketika dikejar pasukan marin kastam kira-kira tiga jam sebelum itu,” ujarnya.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti penyeludupan yang dijalankan serta premis perniagaan yang menyimpan, memiliki dan mengangkut rokok seludup atau lain-lain barangan seludup dimohon untuk melaporkannya kepada pihak kastam melalui talian aduan penyeludupan 1-800-88-8855 atau 09-7411100. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini