KUALA LUMPUR – Sebuah kumpulan jenayah terancang yang giat melakukan kegiatan samun, ragut dan rompakan kedai emas tumpas selepas ketua kumpulan mereka yang dikenali ‘Amy Keju’ ditahan semalam.
Dalam tangkapan yang dilakukan di sebuah pusat hiburan di Sungai Besi, di sini, polis turut menahan adik suspek yang juga ahli kumpulan mereka.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, suspek berusia 32 itu ditahan bersama adiknya ketika mereka sedang berhibur di sebuah pusat hiburan berkenaan dipercayai menggunakan wang hasil samun.
“Semakan yang dilakukan mendapati suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau dan turut disenaraikan sebagai individu dikehendaki polis.
“Siasatan mendapati, kumpulan ini dianggotai oleh kira-kira 40 hingga 45 individu yang dipercayai direkrut dari penjara serta pusat-pusat pemulihan di seluruh negara dan merupakan kumpulan yang paling dikehendaki polis,” katanya dalam sidang akhbar khas di Bukit Aman di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Huzir memberitahu, siasatan awal mendapati, kumpulan ini aktif melakukan kegiatan terbabit sejak beberapa tahun lalu dan dianggotai oleh bekas-bekas banduan serta individu yang memiliki rekod jenayah lampau dengan pihak berkuasa.
Jelasnya, hasil operasi khas yang dijalankan sejak beberapa bulan lalu, sebanyak 17 individu yang merupakan ahli kumpulan terbabit telah ditahan.
“Kita sedang mengesan saki baki ahli kumpulan tersebut dan siasatan lanjut berhubung kumpulan ini juga masih lagi diteruskan oleh polis Selangor dengan dibantu oleh Bukit Aman,” katanya.-UTUSAN ONLINE











