KOTA BHARU – Langkah Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mempercepatkan Kongres Agung Luar Biasa (EGM) disambut baik oleh ahli gabungan badan induk itu.
Jurucakap kepada tujuh persatuan bola sepak (PBJ) Kamarudin Mohamad berkata, langkah itu membuka ruang kepada ahli gabungan untuk menyelamatkan badan induk itu selepas berdepan pelbagai masalah sebelum ini.
Beliau yang juga Yang Dipertua PBJ Tanah Merah berkata, gabungan tersebut akan menghantar pencalonan sebelum Ahad ini dan pihaknya kini sudah mempunyai seorang calon untuk diangkat bagaimanapun enggan mendedahkannya.
“Kami harap calon ini dan calon-calon lain yang dipilih menjadi Presiden dapat membawa perubahan walaupun bukan drastik khususnya untuk menyelamatkan skuad Kelantan daripada jatuh ke liga yang lebih bawah.
“Kami mengucapkan terina kasih kepada barisan Exco Kafa yang bertindak pantas dalam hal ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Khamis lalu, Kamarudin menyerahkan memorandum bagi pihak tujuh PBJ kepada pengurusan Kafa untuk mendesak badan induk bola sepak itu mengadakan kongres luar biasa (EGM) secepat mungkin.
Ekoran daripada itu, mesyuarat tergempar Exco Kafa kelmarin menetapkan EGM akan diadakan pada 6 Julai ini dan pencalonan untuk semua jawatan akan ditutup pada Ahad ini.
EGM itu diputuskan bagi memenuhi hasrat ahli gabungan persatuan itu untuk memilih presiden dan barisan Exco yang baharu bagi menggantikan presiden sebelum ini Bibi Ramjani Ilias Khan yang meletak jawatan selepas dua tahun menerajui badan induk itu.
Setakat ini dua individu sudah menyatakan hasrat menawarkan diri sebagai Presiden Kafa iaitu Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman dan usahawan muda, Datuk Seri Amril Aiman Abdul Aziz manakala Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah), Wan Abdul Rahim Wan Abdullah juga telah menunjukkan minat namun tidak membuat sebarang keputusan. – UTUSAN ONLINE











