681 kumpulan kongsi gelap dikesan - Utusan Malaysia

681 kumpulan kongsi gelap dikesan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kuala Lumpur – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti sebanyak 681 kumpulan kongsi gelap yang aktif di negara ini dengan jumlah ahli seramai 9,042 orang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, sebanyak 627 ahli kongsi gelap telah ditahan sejak awal tahun ini sehingga kelmarin menerusi operasi Op Cantas Khas.

Ujarnya, daripada jumlah tersebut seramai 19 ahli kumpulan berkenaan sudah ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1957.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Malah, sejak 2012 seramai 536 individu terbabit kongsi gelap telah ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA.

“Selain itu, dalam tempoh yang sama juga seramai 456 individu sudah dituduh mengikut SOSMA kerana menjadi ahli kumpulan jenayah terancang,” katanya dalam sidang akhbar khas di Bukit Aman di sini hari ini.

Mengulas lanjut Huzir memberitahu, PDRM akan terus memberi penekanan untuk membasmi kegiatan kongsi gelap di negara ini termasuk menggunakan SOSMA, POCA, Kanun Keseksaan, Akta Senjata 1960 dan lain-lain akta.

Jelasnya, SOSMA kini di peringkat akhir kajian oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan PDRM dan sehingga kini ia masih boleh digunakan bagi membanteras jenayah terancang membabitkan kesalahan serius mengikut Bab VIB Kanun Keseksaan.

“Kumpulan kongsi gelap ini dikenal pasti sebagai kumpulan jenayah terancang yang melakukan pelbagai kesalahan jenayah termasuklah sindiket perjudian dan pelacuran.

“Jadi, selepas ini polis tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan mengikut akta berkenaan kepada kumpulan- kumpulan yang kita kenal pasti,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini