ARAU – Mirza Irdiana Hafizuddin,12, pernah dua kali kecewa pulang dengan tangan kosong menerusi kategori tilawah al-Quran peringkat sekolah rendah dalam Majlis Tadarus al-Quran Sekolah-Sekolah (MTQSS) Peringkat Kebangsaan sebelum ini.
Namun, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Selancar Satu, Rompin, Pahang itu tidak pernah berputus asa dan terus berusaha dengan harapan dia bakal bergelar qariah terbaik pada satu hari nanti.
Anak pasangan Hafizudin Md. Ideris, 38, dan Khuzaimah Abdullah, 37, itu mewakili Pahang untuk MTQSS peringkat kebangsaan sejak berusia 10 tahun lagi, namun rezeki masih belum memihak kepadanya.
Akhirnya, impian kanak-kanak itu menjadi kenyataan apabila diumumkan sebagai juara bagi kategori tilawah al-Quran peringkat sekolah rendah MTQSS yang berlangsung di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Pauh Putra di sini hari ini.
“Saya ingin hadiahkan kemenangan ini kepada jurulatih merangkap guru saya iaitu cikgu Hafiz (Mohd. Hafiz Abd. Razak, 40,) serta kedua ibu bapa yang terus memberi kata-kata semangat.
“Setiap hari saya berlatih bersungguh-sungguh kerana inilah kali terakhir saya boleh menyertai MTQSS peringkat sekolah rendah. Harapan saya selepas tiga tahun mencuba adalah untuk bergelar juara dan akhirnya Allah SWT tunaikan impian saya ini.

“Saya mula mengaji al-Quran sejak darjah dua. Selain berlatih, persediaan kali ini, saya tidak mengamalkan minuman berais serta makanan berminyak selama lebih enam bulan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Majlis penutupan itu disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pendidikan, Hassan Nudin A. Hamid
Manakala Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menyampaikan hadiah kepada para pemenang.
Juara keseluruhan terbaik dimenangi oleh kontijen Selangor yang turut mengungguli kedudukan terbaik keseluruhan bagi kategori lelaki, perempuan serta sekolah rendah.
Antara kategori yang dipertandingkan dalam MTQSS itu ialah tilawah al-Quran serta hafazan peringkat sekolah rendah dan menengah; bercerita kisah daripada al-Quran dan syarahan agama secara spontan.
Sementara itu, Mohd. Hafiz berkata, pengorbanan Mirza Irdiana yang tidak berputus asa meskipun menemui kegagalan sebelum ini akhirnya membuahkan hasil dan beliau cukup berbangga. – UTUSAN ONLINE











