KUALA LUMPUR – Pemain dram kumpulan Exist, Ujang tidak menyangka status yang ditulis menerusi akaun Facebooknya sejak beberapa bulan lalu mendapat perhatian ramai sehingga ada yang menganggap rumah tangganya bermasalah.
Dalam beberapa kiriman, Ujang menulis status berbunyi dirinya selaku lelaki bujang dan mahu mencari ibu baharu buat anak-anaknya.
Ujang atau nama sebenarnya Saharudin Saniman, 43, menjelaskan, semua status yang dimuat naik itu sekadar gurauan dan tidak mempunyai apa-apa maksud tertentu bagi memberi bayangan bahawa rumah tangganya bersama isteri sedang bergolak.
“Saya pun takut sebenarnya apabila membaca semula status itu sebab macam tidak sangka kenapa saya boleh tulis seperti itu. Saya langsung tidak terfikir ia mendapat perhatian ramai. Saya mulanya anggap tiada siapa mahu ambil kisah pun.
“Tetapi sebenarnya itu hanya gurauan semata-mata. Saya dan anak-anak selalu bergurau seperti itu. Tiada niat untuk menyakitkan hati sesiapa. Tiada apa-apa berlaku antara saya dan isteri, kami masih bahagia seperti biasa,” ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran kayu Stik Dram Signatur Promark Ujang Exist baru-baru ini.
Selepas perkara itu menjadi perhatian ramai, Ujang menyedari isterinya ada berasa hati dan mempersoalkan tindakannya menulis status sebegitu sehingga ia mengundang spekulasi negatif.
“Isteri saya okey saja, tetapi dia tanya kenapa saya buat macam itu. Saya jawablah itu cuma main-main sahaja. Tetapi dia kata, perkara sebegitu tidak boleh dibawa main dan saya minta maaf padanya.
“Lama jugalah dia merajuk. Rasanya sampai ke hari ini pun dia masih merajuk lagi. Saya akui perkara ini sangat bahaya dan tidak patut dilakukan. Selepas ini saya perlu lebih berhati-hati dalam membuat sebarang tindakan,” katanya yang telah memadam semua status tersebut.
Ujang dan isterinya memiliki empat orang anak iaitu Mohd. Daniel Rusydi, 18, Mohd. Danish Afiq, 16, Intan Sara Dania, 9, dan Mohd. Dani Rayyan, 7. – K! ONLINE











