KUALA LUMPUR – Kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pas yang mungkin bergabung menentang kerajaan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dilihat sebagai bukan satu berita yang baik untuk Malaysia yang mempunyai latar belakang rakyat yang berbilang bangsa.
Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau Hoe Chai berkata, ini kerana politik negara tidak boleh dipimpin oleh satu kaum atau agama sebaliknya parti yang mempunyai kepelbagaian.
“Selepas muktamar Pas baru-baru ini meluluskan kerjasama politik dengan UMNO, ia menunjukkan bahawa perjuangan untuk menarik undi orang Melayu sudah bermula antara BN dan Pakatan Harapan (PH) sekali gus menyebabkan kepelbagaian yang diraikan dalam politik negara menghadapi cabaran yang serius.
“Berdasarkan analisis keputusan PRU lepas, kerjasama UMNO-Pas boleh mendapatkan sekurang-kurangnya 30 kerusi Parlimen daripada PH dalam PRU-15.
“PH terikat untuk bersaing dengan BN sebagai ‘pemacu Islamisasi’ untuk memenangi sokongan Melayu dan mengekalkan kuasa. Kerajaan juga perlu sedar bahawa hanya 25 hingga 30 peratus orang Melayu menyokong PH pada pilihan raya umum yang lalu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











