KUALA LUMPUR – Wirawati Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mahu tindakan penguatkuasaan diambil segera serta kilang-kilang haram ditutup di Pasir Gudang, Johor yang disyaki menjadi punca kepada pencemaran kimia dan gas beracun di daerah itu.
Ketua Penajanya, Dr. Asmah Razall berkata, kerajaan tidak perlu berdolak dalih sebaliknya harus bertindak pantas manakala dalang kejadian harus didedahkan kepada umum untuk dibawa ke muka pengadilan.
Katanya, pencemaran kimia boleh memberi kesan negatif ke atas kesihatan individu sama ada akut, secara cepat mahupun dalam jangka masa panjang.
“Para pelajar serta penduduk yang tidak berdosa didedahkan dengan pencemaran akibat kerakusan wang dari industri yang dilakukan secara terang-terangan. Kejadian ini seperti tiada nilai penguatkuasaan.
“Kami meminta agensi-agensi kerajaan serta pihak berkuasa mengambil langkah lebih proaktif dengan pemantauan secara dekat serta tindakan segera jika benar pencemaran kimia masih berulang di daerah itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam, seramai 20,108 pelajar dari 16 buah sekolah di daerah itu terjejas dan diarahkan ditutup akibat pencemaran udara yang semakin merebak ke sekolah-sekolah berhampiran.
Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Azman Adnan berkata, sekolah berkenaan perlu ditutup bagi memastikan kesihatan murid tidak terjejas selain sebagai langkah keselamatan awal bagi mengelak lebih ramai menjadi mangsa pencemaran udara.
Kejadian ini adalah rentetan daripada peristiwa kira-kira pukul 3.30 petang, Khamis lalu iaitu seramai 15 murid dari Sekolah Agama Taman Mawar dan Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gudang 4 di Pasir Gudang dan dua orang dewasa muntah-muntah dan mengalami sakit tekak akibat pencemaran udara.
Sebahagian daripada mangsa tersebut dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru untuk mendapatkan rawatan segera.
Tambah Asmah, pihaknya amat mengambil berat berhubung isu kesihatan para pelajar yang masih muda serta penduduk Pasir Gudang yang berada dalam radius lingkungan pencemaran.
Sehubungan itu, katanya, isu ini perlu dibendung dengan segera bagi memastikan keselamatan nyawa terjamin di daerah itu.-UTUSAN ONLINE











