ARAU – Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin yakin bahawa kerjasama Pas dan UMNO yang dimeterai secara rasmi itu akan membuahkan hasil yang baik.
Malah kata beliau, kerjasama itu akan diperkukuhkan untuk merampas Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) seterusnya mengembalikan kuasa pemerintahan kepada Islam dan Melayu.
Pada masa sama, beliau juga yakin kepemimpinan Pas di peringkat kawasan dan negeri akan mematuhi empat garisan panduan yang ditetapkan parti dalam kerjasama tersebut.
“Muktamar baru-baru ini memperlihatkan bagaimana akar umbi menerima kerjasama tersebut (Pas dan UMNO). Tidak ada saya lihat para perwakilan membantah kerjasama ini.
“Malah mereka (perwakilan) menyokong usaha tersebut dan yakin PRU-15 akan memastikan Islam kembali memimpin,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-65 di Pahang yang berakhir semalam memuktamadkan secara rasmi kerjasama politik dengan UMNO yang sekali gus mengulangi sejarah politik pada 1978.
Parti tersebut turut menetapkan empat panduan bagi menjayakan ta’awun politik dua parti terbesar orang Melayu Islam itu yang antaranya kerjasama itu mesti saling hormat-menghormati dasar parti masing-masing.
Tambah Hashim, perkembangan kerjasama kedua-dua parti terbesar orang Melayu dan Islam itu semakin hari semakin erat.
Malah katanya, hubungan itu akan terus diperkukuhkan dengan penuh keikhlasan.
“Kali ini saya yakin hubungan ini akan membuahkan hasil yang baik dan ia sememangnya dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam di negara ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE











