KOTA BHARU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan berkerjasama dengan Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) dalam menguatkuasakan undang-undang trafik di bawah Akta Pengangkutan Jalan di negeri ini.
Pengarah JPJ negeri, Mahasan Mustapa berkata, sehingga kini, pihaknya telah mengadakan dua kali mesyuarat bersama pihak berkuasa tempatan itu berkaitan perkara tersebut.
“Jika tiada sebarang persulitan keputusan akan dimuktamadkan hujung tahun ini. Setelah ianya dilaksanakan PBT akan mempunyai kuasa penguatkuasaan berkaitan kesalahan trafik di kawasan masing-masing termasuk kesalahan berkaitan meletak kereta.
“Ini bukan perkara baharu, sudah ada beberapa negeri yang melaksanakan kerjasama ini seperti Kuala Lumpur dan Putrajaya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Aidilfitri peringkat JPJ Kelantan di perkarangan JPJ Kelantan, di sini hari ini.
Sementara itu, Mahasan berkata, pihaknya tidak menerima sebarang permohonan daripada orang ramai yang ingin menggunakan cermin gelap sepenuhnya pada kenderaan mereka di negeri ini.
Katanya, bermula 8 Mei lalu, orang ramai boleh memohon untuk menggunakan cermin gelap sepenuhnya di bahagian penumpang belakang manakala pada bahagian penumpang serta penumpang hadapan dibenarkan sehingga 50 peratus ketelusan cahaya.
“Bagi individu yang ingin memohon penggunaan cermin gelap sepenuhnya haruslah ada alasan atas isu keselamatan ataupun kesihatan dan perlu ada kelulusan yang sah daripada JPJ dengan bayaran RM1,500 setahun.
“Berdasarkan beberapa operasi yang dilakukan memang ada pengguna yang menggunakan cermin gelap keseluruhan kereta tapi tidak memiliki kelulusan yang sah daripada JPJ, kita akan beri amaran untuk buka lapisan cermin, kalau ingkar barulah kita saman dan denda yang dikenakan sehingga RM300,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











