PH boleh mufliskan UMNO, jika mahu - Tun. Dr. Mahathir - Utusan Malaysia

PH boleh mufliskan UMNO, jika mahu – Tun. Dr. Mahathir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 24 Jun – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) berupaya untuk mengambil tindakan dan menyebabkan UMNO muflis, sekiranya mahu berbuat demikian.

Pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, malangnya Kerajaan PH masih membenarkan Datuk Seri Najib Tun Razak bebas ke mana-mana walaupun bekas Perdana Menteri itu berdepan dengan pelbagai pertuduhan di mahkamah.

“Kalau nak bankrupkan UMNO kita dah buat awal lagi tapi kita membenarkan Najib bebas walaupun didakwa dan (beliau) bebas ke mana-mana jadi Bossku,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Persidangan Minyak dan Gas Asia Ke-20 (AOGC 2019) anjuran Petronas di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam pada itu, Dr. Mahathir memberitahu, UMNO boleh menubuhkan parti baharu tetapi perlu mengikut lunas undang-undang negara.

“Apa yang berlaku ialah UMNO guna duit yang dicuri untuk bahagi kepada ketua bahagian dan duit-duit curi mesti dibayar balik bukan kepada UMNO tapi kepada kerajaan sebab itu duit kerajaan,” katanya.

Sabtu lalu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, UMNO tidak menolak kemungkinan untuk menubuhkan parti politik baharu atau menyertai parti politik sedia ada sekiranya parti terbesar masyarakat Melayu itu dibubarkan.

Dalam perkembangan lain, Dr. Mahathir memberitahu, tidak semua penarafan yang dilakukan Moody’s Investors Service (Moody’s) tepat namun kerajaan tidak perlu menegus agensi itu kerana ia badan bebas.

Oleh itu, beliau menyifatkan , penarafan Moody’s terhadap Petronas Jumaat lalu, sama sekali tidak akan menjejaskan prestasi syarikat minyak negara itu.

“Mereka (Moody’s) nak buat, buatlah. Kita tak semestinya kena ikut pendapat agensi. Kadang-kadang ada juga mereka buat penilaian tak betul, kita tak boleh tegur mereka sebab mereka bebas.

“Daripada segi apa yang kita lihat Petronas buat sekarang ini, saya yakin penurunan itu tidak akan menjejaskan progres Petronas,” katanya.

-habis-

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini