Kerjasama Labuan IBFC, Swiss RE tingkat kesedaran insurans kaptif - Utusan Malaysia

Kerjasama Labuan IBFC, Swiss RE tingkat kesedaran insurans kaptif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) dan Swiss Re Corporate Solutions bekerjasama untuk meningkatkan kesedaran mengenai insurans kaptif di Malaysia dan Asia.

Kedua-duanya secara bersama akan menganjurkan persidangan di sini pada 7 Ogos bertema ‘Mempertingkat Keyakinan terhadap Syarikat Insurans Kaptif: Menguruskan Ketidaktentuan menerusi Insurans Kendiri’.

Ketua Pegawai Eksekutif Labuan IBFC, Farah Jaafar-Crosby berkata, berasaskan cabaran dan perubahan global yang sentiasa berubah, keperluan terhadap kaedah pengurusan risiko seperti kaptif dan syarikat sel terlindung semakin meningkat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami gembira dapat bekerjasama dengan Swiss Re Corporate Solutions, antara penyedia insurans terkemuka dunia, dan akan memberi padangan mengenai pengurusan risiko melalui insurans kendiri terutama insurans kaptif.

“Persidangan bersama ini bertujuan menyediakan platform untuk meningkatkan lagi pengetahuan dan pemahaman dalam kalangan korporat berkaitan struktur ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Di peringkat global, pertumbuhan insurans kaptif berada di trajektori meningkat, dengan lebih 6,500 perniagaan insurans kaptif diwujudkan setakat akhir 2017.

Bagaimanapun, Farah berkata, hanya dua peratus daripada perniagaan kaptif tersebut dari Asia Pasifik, justeru itu, pasaran Asia masih mempunyai potensi pertumbuhan yang amat luas.

“Malah, Labuan IBFC mencatatkan pertumbuhan berterusan pada 2018, dengan 19.1 peratus pertumbuhan premium insurans, dan keseluruhan premium kasar bagi perniagaan insurans kaptif menunjukkan peningkatan 11 peratus kepada US$400.5 juta,” katanya.

Beliau berpandangan Labuan IBFC akan kekal sebagai bidang kuasa terkemuka di Asia bagi pembentukan syarikat insurans kaptif pada 2018, dengan enam syarikat ditubuhkan berbanding bidang kuasa lain seperti Singapura dan Hong Kong, bukti komitmen bidang kuasa ini terhadap syarikat insurans kaptif.

Setakat Disember 2018, jumlah syarikat insurans kaptif di Labuan IBFC adalah 48. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini