Juruteknik buat laporan palsu untuk tangguh majlis kahwin - Utusan Malaysia

Juruteknik buat laporan palsu untuk tangguh majlis kahwin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM – Akibat tertekan dengan permintaan keluarga pengantin perempuan yang meminta wang persiapan untuk melangsungkan majlis perkahwinan, seorang juruteknik sanggup membuat laporan polis palsu mendakwa wang tersebut telah disamun Jumaat lalu.

Lelaki berusia 45 tahun itu membuat laporan polis pada Sabtu lalu mengenai kejadian disamun yang dikatakan berlaku kira-kira pukul 10.30 malam ketika dia sedang melalui sebuah kilang percetakan di Perai.

Dia mendakwa disamun dua lelaki tidak dikenali yang menunggang motosikal jenis RXZ sehingga menyebabkan wang tunai berjumlah RM10,000 lesap dilarikan dalam kejadian berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, pihak polis menjalankan siasatan selepas kejadian itu dilaporkan lelaki tersebut.

“Setelah meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang berada berhampiran kilang berkenaan, tidak terdapat sebarang kejadian samun seperti yang dilaporkan lelaki berkenaan.

“Dia juga didapati memberikan keterangan yang mencurigakan dan pihak polis telah menahan mangsa untuk siasatan lanjut kerana dipercayai membuat laporan palsu,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan lanjut, pihak polis mendapati lelaki berkenaan pernah membuat laporan palsu pada 2010.

“Berdasarkan keterangan suspek, tujuan dia membuat laporan palsu kerana kesempitan wang dan mahu menangguhkan majlis perkahwinannya.

“Keluarga pihak perempuan telah meminta wang untuk persiapan majlis perkahwinan dan membuatkan suspek berasa tertekan lalu membuat laporan palsu mengatakan wang majlis perkahwinan telah disamun,” katanya.

Tambah beliau, suspek telah bernikah pada 15 Jun lalu dan akan melangsungkan perkahwinan pada 28 Ogos depan.

“Suspek kini direman untuk siasatan dibawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini